Powered by Blogger.

Wednesday, May 20, 2020

Tendang Penghantar Makanan Wanita, Lelaki Ini Mengaku Tidak Salah

Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap dua tuduhan mencederakan serta dengan niat mengganggu kesantunan seorang wanita, Isnin lalu.

Tertuduh, Hii King, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Shazleena Shazmi, 24, dengan menendang wanita yang bekerja sebagai penghantar makanan itu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan niat mengganggu kesantunan Shazleena dengan menunjukkan isyarat lucah jari tengah.

King yang juga pesara didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Jalan Puteri 9/1, Bandar Puteri, Puchong, kira-kira jam 4.10 petang, pada Isnin lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau didenda maksimum RM2,000 atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid memohon mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 ke atas tertuduh, selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu atau menghampiri mangsa dan saksi kejadian.

Bagaimanapun, Mohd Ikhwan kemudian membenarkan tertuduh dijamin dengan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain menetapkan 16 Julai ini bagi sebutan semula. Tertuduh diwakili peguam Lim Tien Loong.

Sebelum ini media melaporkan mengenai satu kejadian perselisihan faham di antara seorang pekerja penghantar makanan dengan tertuduh yang ketika itu sedang memandu kereta di Jalan Puteri 9/1 Bandar Puteri, Puchong.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, tertuduh memarahi mangsa kerana memotong kereta dipandunya ketika dia mahu membuat pusingan U di situ.

Warga emas itu turut menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa dan menendangnya beberapa kali sehingga mangsa terjatuh.

Dalam pada itu dua rakaman video termasuk satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu viral di media sosial sejak petang semalam. - Berita Harian Online