Powered by Blogger.

Sunday, May 17, 2020

'Tolong Selamatkan Kami...' 😭😭😭

BUKIT MERTAJAM - Dua bayi dan seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap masalah jantung memerlukan ihsan daripada orang ramai bagi mengumpulkan dana untuk melakukan pembedahan segera.

Mereka ialah Muhammad Yusuf Ammar Roslan berusia enam bulan, Yusof Fahim Norzuiman yang baru berusia sebulan dan Muhamad Aqlan Fadzil berusia sembilan tahun kini menanggung derita atas penyakit yang dialami sejak lahir lagi.

Pengerusi badan kebajikan One Hope Charity, Chua Sui Hau berkata, kesemua mereka memerlukan dana sekurang-kurangnya RM300,000 bagi menampung kos rawatan dan pembedahan yang perlu dilakukan secepat mungkin atau mereka berdepan dengan risiko kehilangan nyawa.

Menurutnya, pasangan ibu bapa bayi dan kanak-kanak berkenaan buntu memikirkan bagaimana untuk mengumpulkan wang yang diperlukan disebabkan mereka tidak mampu sebelum tampil berjumpa dengannya bagi memohon bantuan.

"Bapa kepada Muhammad Yusuf Ammar iaitu Roslan Basron, 48, hanya bekerja sebagai penjual ayam dengan pendapatan RM1,000 sebulan dan ibunya, Nor Aimi Abdul Rahman,32, pula tidak bekerja.

"Pasangan suami isteri dari Baling ini memaklumkan bahawa Muhammad Yusuf Ammar pernah menjalani pembedahan ketika berusia dua bulan dan mengalami pendarahan otak hingga menyebabkan tangan kiri tidak mampu bergerak lalu memerlukan rawatan fisioterapi," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Sui Hau berkata, menurut ibu bapanya, kehidupan Muhammad Yusuf Ammar selepas itu hanya berada di hospital sahaja apabila dia perlu menjalani pelbagai prosedur rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Sungai Petani (HSP).

Dugaan terus menimpanya apabila dikesan menghidap masalah jantung dan memerlukan pembedahan dengan kos sebanyak RM100,000.

Bagi keluarga Yusof Fahim dari Kulim pula, bapanya, Norzuiman Ismail,33, bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM4,000 sebulan manakala ibunya, Siti Fatimah Abdul Rahman,27, tidak bekerja.

Katanya, Yusuf Fahim adalah anak pertama pasangan berkenaan selepas mereka mendirikan rumah tangga tahun lalu.

"Ketika usianya 10 hari, mereka terkejut selepas berlaku jangkitan kuman dan doktor memaklumkan bayi mereka hanya bergantung pada mesin pernafasan di Hospital Kulim.

"Bayi ini memerlukan pembedahan segera dengan kos RM120,000, tetapi keluarga berkenaan hanya mampu menampung RM20,000 sahaja dan sumbangan daripada orang ramai," katanya.

Nasib sama dihadapi Muhamad Aqlan yang mana bapanya, Mohd Fadzli Hassan, 36, bekerja kilang dengan gaji bulanan RM1,100 manakala ibunya, Noor Syahada Khalid, 34, tidak bekerja selain perlu menanggung dua lagi anak berumur 11 dan 8 tahun.

Beliau berkata, Muhammad Aqlan pernah menjalani pembedahan tetapi selepas itu tidak melakukan rawatan susulan kerana masalah kewangan yang dihadapi keluarganya selain mereka juga tiada pengangkutan untuk membuat rawatan susulan.

Berikutan itu, dia tidak mampu membesar seperti kanak-kanak lain kerana selalu penat ketika melakukan aktiviti namun pada Februari tahun ini dia melakukan pembedahan melebarkan saluran selepas menghidap demam panas.

"Bagaimanapun kesihatan kanak-kanak itu kembali merosot dan dia memerlukan satu lagi pembedahan yang menelan kos RM80,000," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akayn Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (3201428817). - Sinar Harian