Powered by Blogger.

Friday, May 15, 2020

Warga Asing Larikan Diri Melalui Pagar Kawat Duri Di Pasar Pudu

Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai cuba melarikan diri.
Kredit Foto: Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing yang melarikan diri melalui pagar kawat duri di kawasan yang diperketatkan kawalan secara pentadbiran di Jalan Pasar Pudu, diberkas polis beberapa minit kemudian.

Lelaki berusia dalam lingkungan lewat 20-an itu sempat berlari masuk ke dalam pusat beli-belah Pudu Plaza melalui pintu masuk utama selepas mengelak pemeriksaan suhu badan oleh pengawal keselamatan pusat beli belah berkenaan.

Pada masa sama dua anggota Polis Daerah Dang Wangi, sedang mengejar lelaki berkenaan sambil menjerit meminta bantuan orang ramai memberkas lelaki berkenaan.

Wartawan dan jurugambar BH yang berada di lokasi turut melihat kejadian berkenaan apabila melihat lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan berlari memasuki Plaza Pudu sambil mengelak diperiksa.

Tidak berapa lama kemudian lelaki terbabit dapat diberkas oleh kakitangan Plaza Pudu sebelum diserahkan kepada polis.

Kejadian berkenaan berlaku sekitar jam 1.30 petang tadi sebelum dia diberkas 15 minit kemudian.

Salah seorang anggota polis yang turut berada di lokasi kejadian menyatakan lelaki itu cuba mengelak daripada menjalani saringan pemeriksaan COVID-19, yang dibuat oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tindakan melarikan diri dipercayai erana bimbang bakal ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial. - Berita Harian Online