Powered by Blogger.

Thursday, May 14, 2020

3,500 Pendatang Asing Dibersihkan, Pasar Borong Kuala Lumpur Beroperasi Seperti Biasa

Pasar Borong Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 3,500 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sebelum ini bebas bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur dekat Selayang, berjaya 'dihapuskan' Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terhadap kawasan terbabit.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr JP Santhara Kumar, menyifatkan kejayaan itu pencapaian terbesar.

Beliau berkata, ini kerana tindakan monopoli pekerja asing terhadap Pasar Borong Kuala Lumpur sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun dahulu dan situasi itu selama ini dilihat seolah-olah sukar untuk dihapuskan.

Santhara bagaimanapun berkata, perkara itu berjaya direalisasikan apabila kini hanya 16 pekerja asing yang digajikan di pasar borong itu dengan permit kerja yang sah.

"Sebelum ini, ramai orang ditakutkan bahawa pasar borong tidak akan bergerak jika tiada pekerja asing, namun kini ternyata premis itu masih mampu beroperasi tanpa kehadiran golongan terbabit.

"Setakat ini, kita dimaklumkan seramai 1,500 rakyat tempatan bekerja di situ menggantikan posisi yang sebelum ini dimonopoli warga asing dengan pendapatan dari RM2,000 hingga RM2,400 sebulan bersama elaun tertentu, " katanya kepada BH di sini.

Pada masa sama, Santhara mengakui banyak permohonan diterima daripada peniaga dan pemborong di pasar terbabit meminta kebenaran diberikan semula untuk mereka menggajikan warga asing namun ditolak oleh kementerian kerana mahu memberikan peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Beliau berkata, sehingga kini kawasan di dalam pasar borong bebas daripada pekerja asing yang tidak mempunyai permit, namun mengakui wujud sebahagian mereka yang degil dengan terus berniaga secara haram di luar tapak premis itu.

"Justeru pada setiap hari, penguatkuasaan yang dijalankan pasti akan menyita satu dua peniaga warga asing yang masih berdegil termasuk etnik Rohingya, " katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan Pasar Borong Kuala Lumpur kekal bebas daripada monopoli pekerja asing, DBKL akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan pemantauan dibuat.

Katanya, selain memudahkan kawalan terhadap tenaga kerja dibuat melalui pemasangan CCTV di pintu masuk dan tapak pasar borong itu, pemantauan berhubung penjarakan sosial juga boleh dilakukan.

"Selain itu, dalam menuju model baharu operasi pasar borong itu, pengusaha digalakkan melabur dengan membeli peralatan hidraulik bagi memudahkan operasi, " katanya.

Beliau berkata, bagi perancangan jangka panjang, kementerian bercadang membina sebuah tapak baharu Pasar Borong Kuala Lumpur yang lebih moden dengan merujuk kepada model premis seperti di Korea dan Jepun. - Berita Harian Online