Powered by Blogger.

Thursday, May 14, 2020

Riza Aziz Dilepas, Malaysia Dijangka Terima Semula RM465.3 juta Duit 1MDB

Riza Aziz dilepas, Malaysia dijangka terima semula RM465.3 juta - SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaklumkan kerajaan dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara berjumlah RM465.3 juta (AS$107.3 juta) ekoran keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata jumlah wang yang dikembalikan itu merupakan antara persetujuan yang dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimaklumkan bahawa ia merupakan pelepasan bersyarat yang mana pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

"Dalam persetujuan ini juga, tertuduh dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan sebagaimana dibenarkan di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang mana ini adalah bersifat punitif sebagai alternatif kepada pertuduhan-pertuduhan yang telah dikenakan ke atasnya," kata kenyataan tersebut.

Persetujuan ini dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Terdahulu Riza yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Riza didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Azman Ahmad selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara. - Astro AWANI