Powered by Blogger.

Tuesday, May 12, 2020

Penduduk Selangor Boleh Makan Dan Minum Dalam Restoran Mulai Esok

Penduduk Selangor boleh makan, minum dalam restoran mulai esok
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor membenarkan pengunjung restoran, medan selera, gerai berbumbung dan kiosk di negeri ini menikmati hidangan di premis-premis itu mulai esok.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, orang ramai harus mematuhi penjarakan sosial.

"Semua premis makanan berkenaan dibenarkan beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis bermula pukul 7 pagi hingga 10 malam, tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial. Namun, peniaga tidak dibenarkan membuka meja di kawasan kaki lima mahupun di tempat letak kenderaan.

"Peniaga juga digalak memberi pilihan 'pre-order' kepada pelanggan bagi mengelakkan kesesakan di premis mereka. Penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei, tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan.

Bagaimanapun, kerajaan Selangor melaksanakan PKPB dengan penetapan beberapa perincian tambahan, antaranya peniaga dan penjaja berpremis yang dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 10 malam, terhad kepada urusan bawa pulang, pandu lalu dan penghantaran.

Dalam kenyataan hari ini, Amirudin turut memaklumkan bahawa peniaga 'food truck' dan penjaja tepi jalan juga dibenarkan beroperasi semasa PKPB yang kini dilanjutkan sehingga 9 Jun, bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam namun terhad kepada urusan pandu lalu, bungkus dan penghantaran sahaja.

Namun begitu, katanya, PBT akan meneliti keperluan penggiliran penjaja tepi jalan untuk beroperasi sekiranya kedudukan gerai mereka berdekatan antara satu sama lain sehingga menyukarkan penjarakan sosial dalam kalangan orang awam.

Bagi pasar awam, pasar borong, pasar segar dan pasar swasta pula, beliau berkata, premis berkenaan boleh beroperasi seperti biasa namun aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di lokasi sama tidak dibenarkan.

"Pasar pagi dan pasar malam masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PKPB sehingga 9 Jun ini.

"Selain itu, semua jenis taman di negeri ini dibenarkan untuk dibuka kepada rakyat beriadah bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam. Aktiviti memancing juga boleh dilakukan. Bagaimanapun, sebarang perkhemahan dan pendakian masih tidak dibenarkan," katanya.

Amirudin berkata, surat pekeliling yang lebih terperinci mengenai keputusan kerajaan negeri itu akan dikeluarkan sebagai rujukan dan perkara lain yang tidak termasuk dalam senarai berkenaan adalah tertakluk kepada tatacara SOP Majlis Keselamatan Negara. - BERNAMA