Powered by Blogger.

Tuesday, May 12, 2020

Bangla Menyusup Longkang Gagal Lolos Diri Di Kawasan PKPD

Cubaan seorang lelaki warga Bangladesh meloloskan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pasar Jalan Othman dengan menyusupi longkang di Jalan 4/37 di sini hari ini mengundang padah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tindakan suspek berusia 31 tahun itu berjaya dikesan kira-kira jam 6.05 pagi.

"Hasil pemeriksaan polis mendapati lelaki terbabit telah menjalani ujian saringan awal Covid-19 pada Isnin.

"Lelaki terbabit juga didapati mempunyai surat perintah kuarantin sehingga 23 Mei," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, Seksyen 15 APPPB 1988 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan lain, seramai 1,400 orang termasuk 376 warga asing di PKPD Pasar Jalan Othman telah disaring Covid-19 setakat semalam.

"Pada masa yang sama, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat penjadualan agihan barang makanan serta ubat-ubatan kepada penduduk kawasan terbabit," katanya.

Tambahnya, sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan PKPD Pasar Jalan Othman yang beroperasi 24 jam di talian 013-2666165.

Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan agar bersabar dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua agensi yang terlibat. - Sinar Harian