Powered by Blogger.

Monday, May 11, 2020

Kanak-Kanak Perempuan Dibunuh Kerana Enggan Makan Di Ampang Point

AMPANG - Mayat seorang kanak-kanak perempuan dipercayai warga Myanmar ditemui di hadapan kedai makan di Ampang Point, di sini, pagi tadi dan disyaki dibunuh oleh insan terdekat gara-gara enggan menjamah makanan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, penemuan mayat kanak-kanak yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu diterima oleh pihak polis selepas seorang pengawal keselamatan memaklumkan mengenainya kira-kira jam 9.50 pagi, hari ini.

"Mayat kanak-kanak berusia lingkungan 6 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dan masih berpakaian lengkap.

"Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati, kesan lebam di beberapa bahagian anggota badan termasuk lengan dan badan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azmi berkata, susulan penemuan mayat tersebut dan berdasarkan maklumat yang diterima, polis berjaya menahan tiga individu iaitu bapa tiri mangsa serta dua wanita yang juga pemegang kad UNHCR di sebuah hotel di Jalan Memanda 5, Ampang Point kira-kira 30 minit kemudian.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dipukul oleh ayah tirinya dengan menggunakan objek keras yang tumpul dipercayai kerana mangsa enggan untuk makan.

"Kita syak mangsa dipukul di tempat lain hingga menyebabkan kematian sebelum dibuang oleh suspek di kawasan yang ditemui selain polis juga mengesyaki mangsa telah dipukul di hotel terbabit," katanya.

Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Sinar Harian