Powered by Blogger.

Sunday, May 10, 2020

4 Tan ikan Kembung Tabur Atas Jalan

Lori terbalik, 4 tan ikan kembung bertaburan atas jalan
TELUK INTAN: Sebanyak empat tan ikan kembung bertaburan di atas jalan raya selepas lori yang membawa hasil laut itu terbabas lalu terbalik di susur lebuh raya berhampiran Jambatan Batu 5, di sini, pada Ahad.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemandu lori berkenaan yang berusia 45 tahun selamat daripada sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata ketika kejadian lori tersebut dipercayai dalam perjalanan dari arah Sitiawan ke Hutan Melintang.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan menyebabkannya terbabas lalu terbalik.

"Kejadian telah menarik perhatian orang awam yang melalui kawasan tersebut dan ada antara mereka mengutip ikan-ikan selepas mendapat kebenaran pemilik syarikat dari Sungai Besar itu.

“Bagaimanapun, jumlah ikan yang diambil itu hanya kira-kira 300 kilogram sahaja” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial orang ramai mengutip ikan-ikan selepas lori yang membawa hasil laut itu terbalik.

Menurut Mohd Marzukhi, kerja-kerja mengumpul ikan yang turut dilakukan pekerja syarikat berkenaan selesai kira-kira pukul 7 malam tadi. - Astro AWANI