Powered by Blogger.

Saturday, May 9, 2020

Kawad Duri Dipasang Sekitar Kawasan Petaling Jaya Mulai Tengah Malam Tadi

PETALING JAYA: Pihak berkuasa mempertingkatkan kawalan keselamatan sekitar kawasan Pekan Lama Petaling Jaya atau PJ Oldtown di sini, mulai tengah malam tadi.

Setakat ini, belum ada sebarang pengumuman daripada pihak berkuasa, sama ada kawasan berkenaan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau bentuk kawalan lain.

Tinjauan mendapati, banyak laluan sekitar kawasan itu sudah dipasang kawat duri oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain sekatan jalan raya oleh polis.

Kawasan terbabit sebelum ini menjadi tumpuan kerana pasar basah yang terletak dekat Jalan Othman dikenal pasti antara kluster penularan wabak COVID-19.

Tinjauan mendapati, selain kawat duri dipasang sekitar pasar berkenaan, pemasangan turut meliputi Seksyen 2 dan Seksyen 4 PJ Old Town.

Pada 5 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata 24 kes COVID-19 daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur dikesan di dua pasar di Petaling Jaya.

Beliau berkata, 23 kes direkodkan di Pasar Besar Jalan Othman dan satu kes di Pasar Taman Megah, Petaling Jaya.

Semalam, Bilik Gerakan COVID-19 Selangor, melaporkan sembilan kes baharu dicatatkan dalam daerah Petaling, manakala satu di Gombak.

"Pertambahan 10 kes itu menjadikan jumlah terkini pesakit COVID-19 di Selangor ialah 1,596 dengan 206 kes aktif.

"Seramai 1,328 pesakit pulih dan dibenar keluar hospital manakala jumlah kematian kekal 20 orang," katanya. - Berita Harian Online