Powered by Blogger.

Thursday, May 7, 2020

Kedai Gunting Rambut Belum Boleh Beroperasi

PUTRAJAYA - Kerajaan masih belum membenarkan kedai gunting rambut dibuka buat masa ini walaupun terdapat gesaan daripada ramai pihak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia susulan terdapat beberapa laporan di Jepun dan Amerika Syarikat berkaitan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) dalam kalangan penggunting rambut dan pelanggan.

"Kita masih memantau perkara ini dengan teliti sebelum dapat membenarkannya secara berperingkat.

"Tetapi kita dah benarkan kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu dan berharap dalam tempoh dua minggu lagi dapat lihat perkembangan kes sama ada berlaku peningkatan atau tidak," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Beliau berkata, selepas itu pihaknya akan melihat sama ada kerajaan sudah boleh membuka lebih banyak sektor khas termasuk dalam bidang gunting rambut dan sebagainya.

"Kita akan pantau sebelum beri nasihat kepada kerajaan dalam tempoh terdekat," katanya. - Sinar Harian