Powered by Blogger.

Wednesday, May 6, 2020

Umno Menolak Menyertai Gabungan Perikatan Nasional (PN)

Malaysiakini
Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak cadangan menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi, menurut sumber dalam parti itu.

Sumber itu berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat MT pada Isnin lalu bagi menjaga kedudukan dan kepentingan parti itu.

"MT sebulat suara tolak, kita tak mahu jadi parti kecil. kalau banyak parti dalam PN, Umno tak boleh nak jadi macam dalam BN sebelum ini.

"Sebelum mesyuarat MT, parti melalui mesyuarat biro politik juga sudah menolak cadangan ini.

"Kemudian mesyuarat pengerusi-pengerusi perhubungan Umno negeri juga menolaknya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Umno, serta rakan komponen BN iaitu MCA dan MIC, memeterai piagam Muafakat Nasional bersama PAS pada akhir tahun lalu.

Menerusi Muafakat Nasional, BN dan PAS menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri kepada gabungan Perikatan Nasional.

Susulan pembentukan kerajaan PN di peringkat persekutuan, beberapa kerajaan negeri yang dikuasai PH juga tumbang selepas krisis politik Februari lalu, yang berlangsung kira-kira seminggu.

Akhir bulan lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menegaskan PN bukanlah satu gabungan yang berdaftar secara rasmi dan Umno tidak pernah menyertainya.

"Hubungan Umno dengan PN hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam PH," katanya yang menegaskan bentuk kerjasama itu berbeza dengan persefahaman dengan PAS dalam Muafakat Nasional yang diurus secara rasmi.

'Platform rasmi cerita lain'

Dalam pada itu Anggota Majis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan, berkata cadangan untuk mendaftar PN dan Umno sebagai ahli sekutunya perlu diteliti sebaik mungkin.

Pada masa sama, katanya, sokongan Umno terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin selaku perdana menteri tidak perlu diragui.

"Ia perlu dilihat dengan serius apa kebaikan yang Umno dapat dan juga keburukannya. Tapi ini bukan bermakna Umno tak sokong PN, kalau tak sokong kita tak berada dalam kerajaan.

"Umno boleh bagi keyakinan bahawa kita sokong PN dan perdana menteri, untuk (PN) jadi platform rasmi itu cerita lain," katanya lagi.

Menerusi PN, Umno berjaya mentadbir kembali negeri yang dimenangi PH pada PRU lalu, iaitu di Melaka (sebelum ini ketua menteri daripada Amanah) dan Johor (sebelum ini menteri besar daripada Bersatu).

Di Perak pula, Bersatu kekal memimpin kerajaan Perak meskipun Umno menguasai lebih banyak kerusi di DUN. - Malaysiakini