Powered by Blogger.

Monday, May 4, 2020

Aktiviti Yang Belum Dibenarkan Ketika PKPB

Ini Senarai Aktiviti Yang Masih Tidak Dibenarkan Sepanjang Pkpb
RAMAI yang mungkin beranggapan bahawa hampir kesemua aktiviti dan industri telah dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan.

Sebenarnya tanggapan itu tidak benar kerana terdapat pelbagai industri dan aktiviti yang masih belum dibenarkan dan tertakluk kepada arahan pihak berkuasa.

Berikut larangan yang masih berkuat kuasa ketika PKPB dilaksanakan:

Hiburan dan riadah
Semua premis dan aktiviti hiburan seperti panggung wayang, pusat karaoke, taman tema, muzium atau busking masih belum dibenarkan dibuka atau dilakukan oleh mana-mana pihak sepanjang tempoh PKPB.

Perayaan, perarakan dan perhimpunan
Sebarang aktiviti keagamaan seperti solat berjemaah di masjid ataupun di rumah-rumah ibadat yang lain dilarang sama sekali.

Ini termasuk meraikan hari ulang tahun kelahiran atau membabitkan sebarang perayaan seperti Hari Raya atau sebarang aktiviti membabitkan perarakan.

Persidangan dan pameran
Sepanjang tempoh PKPB dilaksanakan,tiada sebarang persidangan membabitkan perjumpaan ramai atau sebarang bentuk promosi festival atau pameran-pameran berkaitan dibenarkan.

Pendidikan
PKPB juga bermaksud sesi persekolahan masih belum boleh dilakukan di mana-mana tempat meliputi aktiviti sukan sekolah, perhimpunan dan kokurikulum sekolah, atau sebarang bentuk majlis membabitkan pelajar dan guru dalam satu kumpulan melebihi 10 orang.

Sukan
Aktiviti sukan yang membabitkan sentuhan fizikal seperti bola sepak, bola jaring, ragbi dan sebagainya adalah dilarang sama sekali, kecuali beberapa jenis sukan yang tidak memerlukan sentuhan fizikal seperti badminton dan ping pong.

Apapun yang anda ingin lakukan, pastikan anda mengikuti garis panduan yang ditetapkan demi kesejahteraan anda. - Astro AWANI