Powered by Blogger.

Monday, May 4, 2020

Lapan Peniaga Warga Pakistan Diambil Tindakan

Kes | Berita Harian
PUTRAJAYA: Lapan peniaga warga Pakistan di Kelantan dikenakan tindakan kerana melakukan beberapa kesalahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 hingga 4.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata enam peniaga dikenakan kompaun keseluruhan RM6,000 atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP2011) kerana gagal pamerkan tanda harga pada barangan dijual.

"Dua peniaga lagi, masing-masing masih dalam siasatan bagi kesalahan menjual gas cecair petroleum (LPG) atau gas memasak tanpa lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB1961) serta di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (APP1999) kerana kesalahan memberi gambaran harga mengelirukan kepada pengguna," katanya dalam kenyataan di sini.

Rosol berkata, daripada pemantauan dan pemeriksaan dilakukan KPDNHEP Kelantan terhadap 10,557 premis perniagaan termasuk pemborong di negeri terbabit, sehingga kini sebanyak 21 premis perniagaan runcit dikesan dimiliki oleh bukan warganegara.

"Namun kita percaya jumlahnya lebih banyak lagi. Justeru, penguat kuasa KPDNHEP akan terus mempergiatkan usaha memantau dan melakukan pemeriksaan secara berterusan demi menjaga kepentingan pengguna.

"Isu peniaga runcit dan borong bukan warganegara bukan sahaja berlaku di Kelantan, bahkan di negeri lain. Oleh itu penguatkuasa KPDNHEP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membanteras kegiatan perniagaan yang menindas pengguna.

"KPDNHEP tidak akan berkompromi terhadap peniaga yang cuba mengambil kesempatan sehingga menindas pengguna, termasuk mengaut keuntungan berlebihan dan tidak munasabah dengan menjual barangan pada harga tinggi terutamanya ketika pelaksanaan PKP," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) mendakwa menerima hampir 300 aduan berhubung kenaikan harga barangan dapur yang dijual di kedai runcit diusahakan oleh warga asing kebanyakannya dari Pakistan dan Indonesia. - Berita Harian Online