Powered by Blogger.

Sunday, May 3, 2020

Ibu Kucing 'Bawa' Anak Ke Hospital

Kisah di sebalik gambar ibu kucing 'bawa' anak ke hospital
MINGGU lalu, beberapa keping gambar yang memaparkan seekor ibu kucing bersama anaknya di sebuah hospital tular di media sosial.

Apa yang menarik adalah si ibu seolah-olah meminta pertolongan apabila ia dilihat meletakkan anaknya itu di hadapan sebuah bilik rawatan.

Situasi yang menyentuh hati itu berlaku di sebuah hospital di Turki.

Kucing itu dikatakan tinggal di belakang bangunan hospital berkenaan dan diberi makan oleh mereka yang bekerja di situ.

Sedar kehadiran anak-beranak itu, petugas perubatan segera melakukan pemeriksaan.

Seorang pesakit, Merve Ozcan, memuat naik gambar-gambar tersebut ke laman sosial dan menceritakan keadaan ketika itu.

"Hari ini saya berada di wad kecemasan di hospital, ada seekor kucing menggonggong anaknya masuk ke sini," tulisnya.

Media tempatan melaporkan petugas perubatan tidak menemui sebarang tanda kecederaan atau kesakitan pada anak kucing itu, namun kedua-dua si comel telah dihantar ke klinik haiwan untuk pemeriksaan lanjut.

Situasi itu mengundang pujian pengguna media sosial yang menyifatkan cara Turki melayan kucing jalanan sebagai satu perkara yang perlu dicontohi.

"Kucing haiwan yang bijak. Ia tahu ke mana mahu dituju dan siapa yang boleh memberi pertolongan," kata pengguna Twitter. - Astro AWANI