Powered by Blogger.

Sunday, May 3, 2020

Covid-19 Ada, Selagi Tiada Vaksin!

PUTRAJAYA - Jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dijangka terus berada dalam komuniti untuk tempoh sehingga dua tahun selagi vaksin belum ditemui.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selagi belum ada ubat yang berkesan untuk merawat wabak itu masyarakat diingatkan sentiasa mengamalkan penjarakan selamat, kerap membasuh tangan dan keluar rumah jika keperluan mendesak.

"Jadi kita melihat bagaimana kita hendak guna dua kaedah iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan patuh prosedur operasi standard (SOP) untuk kawal penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat kita," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham menyangkal dakwaan PKP telah ditamatkan selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

"Kita tidak tamatkan PKP, persepsi kita telah tamatkan PKP misalnya esok raya kita tidak ada PKP, itu adalah persepsi yang salah.

"PKP masih ada dan kita hanya bagi kelonggaran iaitu menggunapakai kriteria Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk tamatkan PKP. Kita lihat ada enam kriteria tersebut.

"Kalau kita boleh patuh kepada SOP dan PKP, bererti kita berjaya kurangkan kes. Lihat PKP 1 hingga 3 kita sudah landaikan lengkuk Covid-19," katanya. - Sinar Harian