Powered by Blogger.

Tuesday, May 12, 2020

1,368 Pendatang Asing Ditahan Dalam Serbuan Di Pasar Borong Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Seramai 1,368 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang di sini semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 7,551 orang warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,368 orang PATI telah ditahan dan dibawa untuk proses dokumentasi di Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Individu yang ditahan terdiri daripada 790 warga Myanmar, 421 Indonesia, 74 Bangladesh, 54 India, enam Pakistan dan selebihnya lain-lain warganegara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah tahanan tersebut terdiri daripada 1,009 lelaki, 261 wanita dan 98 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

"Semua warga asing yang diperiksa dan PATI yang ditahan telah disahkan negatif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, operasi yang bermula pada jam 6.30 pagi itu turut disertai seramai 1,136 orang pegawai dari pelbagai agensi antaranya KKM, Polis Diraja Malaysia (ATM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Operasi ini meliputi seluruh zon dalam kawasan Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ke-6 (PKPD 6).

"Kawasan ini menjadi tumpuan lambakan warga asing yang majoritinya bekerja di kawasan pasar borong," katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki dokumen (pas/permit) palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Kesemua mereka akan disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Khairul Dzaimee menegaskan kesemua mereka yang ditahan itu akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman

"Mereka juga akan disenarai hitam daripada memasuki negara ini," katanya. - Sinar Harian