Powered by Blogger.

Monday, June 17, 2019

“9.9.2016 Hari Paling Bermakna Dalam Hidup Saya, Allah Telah Rahmati Saya Dengan Wanita Hebat


Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz meluahkan rasa kesal atas perceraian rumah tangga yang dihadapinya sebulan lalu.

Menerusi luahan di akaun Instagram miliknya pagi tadi, Aliff, 28, turut berkongsi gambar bersama bekas isteri Bella Astillah pada hari pernikahan mereka.

“9.9.2016 adalah satu hari paling bermakna dalam hidup saya, di mana Allah telah merahmati saya dengan wanita paling hebat untuk berkongsi hidup.

“Setelah melalui pelbagai peristiwa gembira, sedih, turun dan baik, dia sentiasa ada bersama saya.

“Jika saya mampu memutar balik masa, ada banyak perkara saya akan ubah dan memilih melakukan perkara yang lebih baik,” katanya.

Penyanyi lagu Sayang Sayang itu turut menyifatkan situasi ini sebagai tempoh buat dirinya untuk memperbaiki kesilapan dan mendekatkan diri dengan tuhan.

“Ini adalah contoh apabila kamu tidak bersyukur dengan apa yang telah Allah berikan.

“Tiba masanya apabila dia menunjukkan kembali apa yang kamu lakukan dan kamu akan tersedar dengan kesilapan itu,” katanya lagi.

Aliff turut berjanji kepada Bella atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah untuk menjadi suami dan ayah yang lebih baik andai diberi peluang sekali lagi.

“Kepada Bella, awak sentiasa memberikan yang terbaik buat saya sejak kita berjumpa. Terima kasih kerana melahirkan anak kita yang cukup hebat, Ayden Adrean sebagai tanda cinta kita.

“Saya mungkin bukanlah yang terbaik untuk awak (Bella) sebelum ini, tetapi jika ada jodoh untuk kita kembali bersama, semoga dengan izinnya saya dapat tunjukkan yang saya mampu menjadi suami dan ayah yang terbaik,” katanya.

Terdahulu Aliff turut memberi bayangan ingin merujuk kembali bekas isterinya setelah dua minggu perceraian mereka.

Aliff berkata demikian menerusi akaun Twitter yang meminta agar Allah menyatukan jodoh mereka kembali.

Tambah penyanyi itu, dia menyedari status ini akan mengundang pelbagai reaksi dari peminat.

“Jodoh pertemuan di tangan Allah, walau apa pun orang cakap, hanya awak (Bella) saja yang tahu siapa diri saya.

“Saya harap awak doakan saya seperti mana awak selalu dalam doa saya,” katanya yang juga meminta peminat mendoakan yang terbaik buatnya.

Aliff dan Bella disahkan bercerai talak satu pada 16 Mei lalu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas beberapa kali berita kecurangannya terdedah dan menjadi perbualan ramai.

Malaysiakini sedang menghubungi Bella Astillah bagi mendapatkan komen dari pihaknya. - Malaysiakini