Powered by Blogger.

Thursday, May 2, 2019

Video: Lelaki Lempang, Tumbuk Wanita Lelaki Ini Diburu Polis


POLIS memburu lelaki yang melempang muka serta menumbuk kepala wanita yang memandu kereta Honda Civic dalam perselisihan faham yang berlaku di Jalan Dato Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 4 petang semalam apabila lelaki yang menunggang motosikal Honda Dash datang dari arah belakang dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, suspek menuduh mangsa memasuki simpang jalan tanpa memberikan lampu isyarat.

“Selepas itu, suspek kemudian membuka topi keledar dipakai dan menghentak bumbung kereta mangsa.

“Akibat tindakan itu, mangsa kemudian keluar bagi melihat kerosakan pada keretanya sebelum suspek yang memaki hamunnya bertindak menampar muka serta menumbuk kepalanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Azmi berkata, mangsa kemudian dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum membuat laporan polis serta rawatan di Hospital Ampang.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatang kecederaan dengan sengaja serta kerana melakukan khianat.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan khianat.

“Susulan itu, tindakan mengesan suspek kini sedang dijalankan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor R Sivanathan di talian 016-5903985 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Hari ini, tular rakaman berdurasi 34 saat memaparkan tindakan samseng jalanan yang melempang serta menumbuk seorang pemandu wanita.

Rakaman video dirakam pengguna jalan raya lain menunjukkan tindakan lelaki itu yang melempang wanita terbabit menggunakan tangan kanan pada muka sebelah kiri serta menumbuk kepala menggunakan tangan kirinya sebelum dileraikan orang ramai. - Harian Metro