Powered by Blogger.

Friday, May 3, 2019

Guru Rogol Pelajar 14 Tahun Dipenjara 22 tahun


KUCHING: Seorang guru dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua kesalahan merogol pelajarnya dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhaini Bojeng, 53, didakwa pada 25 April lalu atas dua pertuduhan merogol pelajar berusia 14 tahun ketika itu di dalam kereta di kawasan parkir hadapan dua pasar raya berasingan di Siburan pada tarikh berbeza.

Keputusan terhadap tertuduh dibuat Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad selepas membuat pertimbangan berdasarkan kekerapan kesalahan seksual terutama dalam kalangan guru di negeri ini.

Menurut Hakim Dayang Ellyn Narisa, tertuduh yang sepatutnya menjadi pembimbing menyalahgunakan kedudukan.

“Hukuman setimpal harus dijatuhkan untuk mengelakkan perbuatan seumpama itu berulang,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Muhaini didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 376(1), akta sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara serta dua sebatan dan pertuduhan kedua membawa hukuman 12 tahun penjara serta dua sebatan.

Peguam tertuduh, Wit Malang memohon penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan alasan Muhaini mempunyai penyakit batuk kronik, diabetes dan darah tinggi.

Katanya, adalah lebih mudah bagi tertuduh untuk menjalani rawatan di luar berbanding di penjara.

Wit berkata, Muhaini juga perlu mencari nafkah untuk keluarganya dengan meneruskan kelas tuisyen kerana mempunyai tanggungan tiga anak yang masih belajar.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof menyatakan adalah tidak relevan bagi tertuduh untuk memohon penangguhan hukuman dan sekiranya tertuduh mempunyai masalah kesihatan, penjara menyediakan kemudahan seperti ubat-ubatan, doktor dan klinik untuk banduan.

Beliau berkata, tidak wajar membenarkan tertuduh kembali semula menjalankan kelas tuisyen kerana tertuduh mungkin akan mengulangi perbuatannya.

Hakim Dayang Ellyn Narisa menolak permohonan Wit kerana beranggapan tertuduh tidak layak diberikan penggantungan pelaksanaan hukuman, di samping tertuduh gagal mengemukakan sebarang perakuan masalah kesihatan berbentuk sijil atau surat daripada doktor atau pakar.