Powered by Blogger.

Tuesday, November 6, 2018

Guru Berdepan Hukuman Penjara Kerana Rotan Pelajar Malas Solat


MARANG: Seorang guru Sejarah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan memukul pelajarnya dengan merotan dan menyepak remaja lelaki berusia 14 tahun.

Tertuduh, Ahmad Fakhrurazi Suhaimi, 33, mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada mangsa dengan merotan dada dan menyepak pinggang remaja terbabit di bilik bacaan Asrama Puteri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan, Marang, jam 10 malam pada 11 September lalu.

Tertuduh turut didakwa mengulangi kesalahan sama dengan merotan bahu dan menyepak pinggang mangsa di sekolah sama, jam 10.05 malam pada 11 September lalu.

Dia didakwa merotan dan menyepak punggung serta merotan kepala dan menyepak peha mangsa iaitu pada jam 9.30 malam dan 9.35 malam di sekolah dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Difahamkan, tertuduh yang juga ketua warden di sekolah berkenaan bertindak sedemikian selepas pelajar terbabit dikatakan tidak menunaikan solat dan mengulangkaji pelajaran.

Terdahulu, hampir 50 orang termasuk ahli keluarga dan rakan tertuduh memenuhi perkarangan mahkamah memberi sokongan terhadap tertuduh. - Berita Harian Online